Sunday, December 6, 2009

Leka berpolitik, lupa agenda luar

Abdul Aziz Ismail

Tulisan Dr Ridhuan Tee Abdullah baru-baru ini menarik perhatian kerana beliau menyentuh secara langsung dan berterusterang tentang sikap orang Melayu yang suka mengalah dan tidak serius dalam menghadapi negara jiran yang disifatkan "ultra kiasu."

Menurutnya, jika kita tidak mengambil berat soal pertahanan, sikap kita yang suka berpolitik mengatasi isu-isu lain yang lebih relevan, pertukaran sistem pendidikan kepada satu jenis persekolahan, pemimpin tertentu yang menjadi provokator asing serta kuasa besar yang tidak ingin melihat Islam maju dan berkembang, negara bakal tercicir dan tenggelam dalam arus perubahan.

Katanya lagi, orang kita perlu mengubah segera sikap dan pendekatan dalam menghadapi dunia tekonolgi yang cepat berubah dengan negara kecil yang berpenduduk kecil seperti Singapura boleh mengatasi negara besar seperti Malaysia jika soal pertahanan diabaikan dan negara takut membelanjakan peruntukan besar untuk membaharui senjata pertahanan yang canggih dan terbaharu.

Katanya, Singapura sanggup berbelanja hampir AS$11 bilion (RM37.4 bilion) memperkuat sistem pertahanan negaranya dengan populasi hanya 4.6 juta, atau 23 dalam kedudukan dunia. Lebih dua kali ganda besar daripada perbelanjaan Indonesia (AS$4.7 bilion) yang berpenduduk Muslim paling ramai di dunia, 250 juta.

Beliau mempersoal jiran terdekat kita itu adalah sahabat rapat Israel, Amerika Syarikat, Australia, Inggeris dan lain-lain kuasa Barat yang mempunyai agenda tertentu di rantau sini yang dikelilingi kebanyakan penduduknya orang Melayu serumpun yang beragama Islam. Katanya, negara seharusnya bimbang dan boleh membaca tindak tanduk mereka dalam jangka waktu panjang.

Beliau menyindir kebanyakan pemimpin orang kita yang tidak menghirau hal itu dan lebih sibuk berpolitik sesama sendiri tanpa melihat gambaran yang lebih besar tentang niat serong kuasa luar terhadap keselamatan negara.

Beliau berpendapat kita patut curiga dengan niat Singapura dan Lee Kuan Yew yang mempunyai ramai pengikut di negara ini. Lee jarang melawat Malaysia tetapi lawatannya terakhir tempoh hari mengapa beliau memilih Pulau Pinang sebagai destinasinya? Sedarkah kita apa yang dibincang secara tersurat dan tersirat? Fikirkanlah, jangan terlepas pandang nasib Melayu di Pulau Mutiara itu yang terus tertinggal.

Hari ini kita sudah dilaga-lagakan dengan jiran terapat dan terdekat Indonesia dengan isu kecil yang tidak sepatutnya dibesar-besarkan. Siapakah dalang disebalik rusuhan di Jakarta tempoh hari? Siapakah provokator sebenarnya yang ingin melihat Indonesia dan Malaysia terus berselisih dan bermusuh supaya mereka mendapat nikmat dari situasi yang tidak stabil itu?

Saranan Ridhuan supaya orang kita melihat ke dalam diri dengan insaf niat kuasa luar dan negara asing yang ingin memecah-belah bangsa dan negara harus dilihat dengan pertimbangan wajar dan perseptif yang bijak dan terbuka. Jangan kita asyik berpolitik dan bertelagah sesama sendiri tentang isu remeh-temeh yang tidak menguntungkan bangsa dan negara sedangkan musuh sudah menjalankan jarum dan bertepuk tangan melihat gelagat sumbang kita yang terus dipersenda.

Barat telah berjaya memecah-belah dan melaga-lagakan negara-negara Arab. Hasilnya negara haram Yahudi muncul dan berjaya menguasai nergara-negara Arab dengan nisbah satu orang Yahudi sama dengan lebih 100 orang Arab. Tetapi 100 orang Arab tidak boleh mengalahkan satu orang Yahudi! Di mana silapnya?

Walaupun kuasa asing belum menunjukkan taring sebenar agendanya secara ketara dirantau ini, kebimbangan harus wujud dalam kalangan pemimpin kita - tidak kira dalam kerajaan mahupun Pakatan Rakyat - tentang kemunculan agenda itu dan orang-orang yang bersekongkol dengan mereka.

Kita sepatutnya berpolitik dalam ruang lingkup yang wajar dan dibenarkan. Berpolitik itu dibenarkan dan amat diperlukan demi untuk kemajuan bangsa dan kebaikan rakyat. Namun, ia biarlah berlaku dalam sekitaran yang sihat, terkawal serta dalam jangkauan kita dan tidak sampai terdedah kepada jarum musuh yang sentiasa menanti kesilapan kita.

Jangan sampai kawan rapat yang sama fikiran dan pendirian berkata ia di hadapan kita tetapi menjadi musuh zalim yang menikam dari belakang kerana kelalaian kita mengurus agenda mereka.

Pemimpin Melayu sepatutnya lebih kerap bercakap tentang soal pembangunan dan kemajuan hidup seperti bagaimana meninggikan situasi ekonomi. Pemimpin kita - tidak kira parti - seharusnya merancang bagaimana melahirkan lebih ramai usahawan dan jutawan daripada kalangan orang Melayu supaya negara dipandang tinggi oleh orang luar dan disegani oleh musuh.

Jangan asyik berpolitik dan terus berpolitik yang tidak berkesudahan dan tidak menguntungkan agama, bangsa dan negara.